Sunday 1 January 2017

APA BILA KEKECEWAAN MELANDA

*PERTAMA, JADIKAN ALLAH TEMPAT MENGADU*

*Slot Penawar Hati: Edisi 4*

Manusia, remaja, sering dilanda kecewa, sedih, terguris dan terluka. Seringkali manusia akan kecewa dengan cinta, kecewa dengan kegagalan, putus asa dengan kehidupan yang rencam dan terguris dengan sikap manusia.

Lalu, manusia selalu memilih untuk meluahkan perasaan kepada rakannya kerana hal itu mampu mendatangkan kepuasan dalam diri.

Sebahagian orang meluahkan perasaan dan rasa hatinya kepada keluarga dan adik beradik kerana, dengan meluahkan perasaan, ia mendatangkan kepuasan.

Ada juga yang memilih media sosial seperti twitter, wechat, facebook dan instagram sebagai tempat meluahkan perasaan.

Perasaan sedih, kecewa, terguris dan terluka yang dirasai akan dikongsi. Hal ini embuatkan kita tahu ada orang yang memahami perasaan kita, ada orang yang mengetahui isi hati kita.

Kita tahu kita tidak menanggungnya sendirian. Kita tahu, ada orang yang bersimpati dengan kecemburuan, kesedihan, dan kedukaan yang kita alami.

Namun, dalam meluahkan perasaan, kita perlu ingat bahawa perkara pertama yang harus kita lakukan ialah kita mengadu segala masalah kita kepada Allah.


Lihatlah Nabi Ya’qub ‘alaihissalam ketika menghadapi kesedihan berupa kehilangan putranya, Yusuf, sehingga anak-anaknya yang lain menyangka bahawa baginda akan bertambah sakit dan sedih. Maka dengarlah jawaban Nabi Ya’qub yang perlu diteladani setiap muslim,

,قَالَ إِنَّمَا أَشْكُوْ بثّيْ وَ حُزْنِيْ إِلَى اللهِ


“Dia (Ya’qub) menjawab: “Sesungguhnya hanyalah kepada Allah aku mengadukan kesusahan dan kesedihanku.”

(QS Yusuf: 86)

Benarlah. Jika seseorang menampakkan dan mengadukan kesedihan serta kesulitan kepada manusia, maka hal itu tidak meringankan kesedihan tersebut.

Namun apabila seseorang mengadukan kesedihan itu kepada Allah, itulah yang akan bermanfaat baginya.

Bagaimana tidak? Sedangkan Allah Ta’ala telah menjanjikan hal itu dalam sejumlah firman-Nya. Jika kita berkehendak, bacalah dan renungkanlah beberapa firman Allah ini

,وَ إِذَا سَأَلَكَ عِبَادِى عَنِّى فَإِنِّى قَرِيْبٌ أُجِيْبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ“

"Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku.”

[QS Al Baqarah: 186]

Dengan mengadu kesusahan kepada Allah, maka akan dihantar olehNya orang yang mampu menjadi pendengar yang baik dan mampu meringankan beban kita.

Mengadu masalah dan perasaan kepada orang yang kita percaya itu tidak masalah, kerana bagi kita ia mendatangkan kelegaan.

 Namun, mengadulah dahulu kepada Allah kerana Dialah tuhan yang maha menggerakkan hati manusia. Dialah tuhan yang maha berkuasa atas segalanya.

Dialah tuhan yang maha sempurna yang mampu menghilangkan segala beban kita dengan kehendakNya. Dialah tuhan yang mengatur segala pergerakan alam dan Dialah tuhan yang mencampakkan kesedihan dan kedukaan dalam hati kita.

Maka, pertama, jadikan Allah sebagai tempat mengadu segala kesusahan, kesedihan dan kedukaan kita. Itulah tanda iman kita kepada Allah, tuhan yang sentiasa memelihara makhluknya.

*Tazkiyatunnafs edisi 4*
*13 Oktober 2016*
*Unit Tarbiyah GBIQ*
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...