Wednesday 27 January 2016

Hakikat masa dan pemuda

Dia (Allah) berfirman: "Berapa tahunkah lamanya kamu tinggal di bumi?"

Mereka menjawab: "Kami tinggal (di bumi) sehari atau setengah hari, maka tanyakanlah kapada mereka yang menghitung."

Allah berfirman: "Kamu tinggal (di bumi) hanya sebentar saja, jika kamu benar-benar mengetahui."

(Surah Al-Mukminun, 23: 112-114)

Inilah hakikat kehidupan dunia. Ia hanya sementara. Memang, manusia akan terlalai beberapa waktu. Kadang, masanya berlalu tanpa terisi apa-apa. Hanya diisi dengan 'berangan' dan 'duduk saja'. Malah, sedarkah kita, banyak kali kita ditanya kawan-kawan,

"Kamu sedang buat apa?"

Jawapan kita

"Tak buat apa-apa, Tengah 'duduk saja'"

Sedangkan, kehidupan inilah penentu kepada dimana kedudukan kita diakhirat kelak, dan bukankah Allah berfirman yang mafhumnya:

Az-Zalzalah:7 - Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!

Az-Zalzalah:8 - Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!

Oleh itu, seharusnya kehidupan ini perlu diisi amal soleh. Antaranya ialah isi kehidupan ini dengan melakukan sebanyak-banyaknya amal ibadat mengikut bidang masing-masing.

Ada yang jaguh dalam berkomunikasi bersama manusia dengan akhlak yang baik. Ada yang jaguh dalam menunaikan hajat orang lain. Ada yang jaguh memberi makan kepada orang lain. Ada yang jaguh dalam bersedekah. Ada yang jaguh dalam melakukan puasa sunnat. Ada yang jaguh dalam melakukan amalan sunnah seperti solat sunnat dan berzikir. Ada pula yang jaguh dalam berfatwa dan menyampaikan ilmu.

Namun, hakikatnya, semua itu perlu sampai ketahap berjuang dan berkorban, Kita beraksi dalam keadaan bersusah payah. Buka bersenang lenang. Bukan bermaksud agama itu menyusahkan manusia, malah agama itu mudah.

Tetapi, maksud sebenar ialah, ada cabaran yang kita tempuh dalam perjalanan kita memperoleh redho Allah.

Al-`Ankabūt:2 - Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?

Kalau kita masih belum merasakan pengorbanan, perjuangan dan kesabaran dalam amal kita, maka, jiwa kita masih belum menerima didikan dari Allah. Jiwa kita masih belum terduga. Iman kita masih belum teruji.

'Āli `Imrān:92 - "Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi."

"Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya."

berjuang menegakkan agama Allah, Menyambung perjuangan salafussholeh memelihara sunnah Rasulullah. Kerana ganjarannya bersifat berterusan. Menegakkan agama dan memelihara sunnah itu bukan hanya menyebarkannya supaya kita dapat lihat manusia jagat raya mengimarahkannya, malah, perjuangan itu termasuklah kita berusaha mengamalkannya dalam kehidupan hingga ia sebati dalam jiwa dan perasaan.

Namun, lumrah perjuangan, ia memerlukan mujahadah. Perjuangan memerlukan kekuatan diri untuk melawan nafsu 'malas' dan nafsu 'tidur'. Banyak perkara yang perlu dikorbankan.  Bukan hanya menjadi slogan, laungan, dan coretan diatas kertas.

Sebagai contoh, adalah perkara yang mudah kita menyeru manusia dengan kata-kata untuk bangun tahajjud dan solat subuh diawal waktu, namun, berapa ramai yang mampu istiqamah melakukannya? Inilah perjuangan menegakkan agama Allah! Menegakkannya dalam masyarakat dan dalam jiwa dan diri kita sendiri.

Itulah perjuangan hakiki sebenarnya.

Hanya yang benar-benar bermatlamat besar, ingin menginfakkan diri kejalan perjuangan akan kekal istiqamah. Hanya yang benar-benar ikhlas kerana Allah yang akan mendapat ganjaran. Hanya yang mencapai darjat 'ahsanu amala' yang akan beruntung.

"Maka sesiapa yang berat timbangan (kebaikannya) maka mereka itulah orang yang BERJAYA."

(Al Mukminun, 23: 102)

Sungguh, perjalanan ini perjalanan yang penuh rintangan. Penuh cabaran. Mental yang kuat harus dipersiapkan. Semoga kita istiqamah dan mujahadah. Syukur dan sabar.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...