Friday 26 October 2012

Aidiladha: Kisah Cinta Terhangat Lagi Tertinggi



Ibrahim ‘alayhi al-Salaam menginginkan seorang anak.
Keinginan yang pasti luar biasa, kerana menginginkannya pada usia diri dan isteri yang sudah lanjut umur, dan memintanya ketika mana baginda adalah KHALIL Allah.





Dan tidak ada yang lebih baik agamanya daripada orang yang menyerahkan dirinya kepada Allah (dengan ikhlas), sedang ia berusaha mengerjakan kebaikan, dan ia pula mengikut agama Nabi Ibrahim yang lurus (yang tetap di atas dasar tauhid); dan (kerana itulah) Allah menjadikan Nabi Ibrahim kesayangan (KHALIL)Nya. [Al-Nisaa' 4:125]


Khalil bukan kekasih biasa. Khalil adalah kekasih yang berkasih dengan kasih yang sangat istimewa. Ia bukan HUBB atau MAHABBAH, ia adalah KHULLAH. Cinta eksklusif yang tidak dikongsi.

Seperti junjungan mulia kita Nabi Muhammad sallallaahu alayhi wa sallam. Baginda juga adalah KHALIL Allah.
ولو كنت متخذا من أهل الأرض خليلا لاتخذت أبا بكر خليلا ، ولكن صاحبكم خليل الرحمن

“Seandainya aku ingin mengambil penduduk bumi ini sebagai kekasihku, nescaya aku akan mengambil Abu Bakar sebagai kekasihku (khalil), akan tetamu sahabatmu ini (yakni diriku) adalah kekasih Allah yang Rahman (Khalil al-Rahman)” [Hadith riwayat Muslim]


Seorang Khalil tidak berkongsi KHULLAH (cinta tertinggi) dengan sesiapa. Justeru kehadiran Ismail alayhi al-Salaam sebagai anak yang diminta dan dihajat, kasih Ibrahim kepada anak ini mengundang ujian. Apakah kasih Ibrahim kepada Ismail, telah menjejaskan kasihnya kepada Allah?

Justeru datang perintah menyembelih.

Perintah yang menguji sistem nilai, keutamaan dan pengorbanan.






“Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?“. Anaknya menjawab: “Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar” [Al-Saffat 37: 102]


IBRAH

  Kisah Ibrahim sinonim dengan pengorbanan.

Namun sebelum pengorbanan, ujiannya adalah pada keutamaan.

Melafazkan kesaksian Laa Ilaaha Illallaah bererti meletakkan Allah sebagai keutamaan tertinggi kehidupan. Di dalam bahasa cinta, ia disebut sebagai KHALIL dan KHULLAH. Kedudukan istimewa berkaitan hubungan Ibrahim dengan Allah, demikian juga Muhammad sallallaahu ‘alayhi wa sallam.

Ibrahim sangat mencintai Ismail. Cinta yang tinggi, cinta yang mendalam.

Tetapi tekad Ibrahim melaksanakan perintah Allah untuk cintanya dikorban, membuktikan Ibrahim telah dan terus mencintai Allah, mengatasi segala-galanya, hatta Ismail, si anak, buah hati pengarang jiwa. Dan kejernihan serta ketulenan cinta Ibrahim kepada ALLAH itulah, yang menjadikan kasih Ibrahim kepada Ismail agung sebagai kasih seorang bapa kepada anak yang diabadikan dalam ibadah korban.

KISAH CINTA TERTINGGI

Cinta tertinggi adalah cinta seorang bapa kepada anak, kerana cintanya berhubung dengan tanggungjawab, amanah, keutamaan, pengorbanan, jauh daripada sekadar naluri emosi dan keinginan.

Dan segalanya, selepas cinta kepada Allah kekal tertinggi, tiada kompromi.
Kisah Ibrahim dan Ibadah Korban menginsafkan kita tentang keutamaan hidup ini. Mengungkapkan kesaksian bahawa “AKU BERIMAN DENGAN ALLAH” malah “AKU MENCINTAI ALLAH” bukan kesaksian sebarangan.

Andai Allah keutamaan tertinggi hidup ini, apakah ada yang lebih penting daripada apa yang Allah pentingkan? Apakah ada kerunsingan pada memikirkan perkara yang tiada dalam kepentingan-Nya?
Iman membuahkan cinta.

Cinta membentuk nilai dan keutamaan.

Keutamaan menentukan pengorbanan.

Dalam sebuah hidup bernama PERJUANGAN.

Salam Aidiladha!

copy paste and edited from:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...