Sunday 1 January 2017

DOSA, ADAKAH KITA ANGGAP BIASA?

*DOSA, ADAKAH KITA ANGGAP IA BIASA?*

*Slot Penawar Hati: Edisi 6*

Seringkali, setiap hari, kita remaja akan terjerumus kedalam dosa. Hal ini berlaku apabila kekuatan iman kita berada di tahap yang rendah. Kita akan kalah dengan bisikan syaitan dan gelora nafsu. 

Sehinggakan kadang kala, kita merasakan sesuatu dosa kecil itu ialah perkara biasa. Sedangkan, ingatkah kita akan hadis dan pesan Rasulullah: 

_“Sesungguhnya seorang mukmin melihat dosanya seakan-akan ia duduk di sebuah gunung dan khawatir gunung tersebut akan menimpanya. Sedangkan seorang yang fajir (yang gemar maksiat), ia akan melihat dosanya seperti seekor lalat yang lewat begitu saja di hadapan batang hidungnya.”_

 (Al Bukhari dalam kitab Shahihnya no. 6308)

Oleh itu, adakah kita tidak kisah dikelaskan sebagai orang yang fajir atau fasiq? Ingatkah kita akan peringatan Allah dalam Al Quran:

_"...Dan sebaliknya orang-orang yang fasik, maka tempat kediaman mereka ialah neraka;_

_tiap-tiap kali mereka hendak keluar dari neraka itu, mereka dikembalikan kepadanya, serta dikatakan kepada mereka:_

_"Rasalah azab neraka yang kamu sentiasa mendustakannya di dunia dahulu"._

(Surah As Sajdah: 20)

Ingatlah, kita ini fasiq kalau kita menganggap sesuatu dosa kecil itu perkara biasa dan benda ringan. 

Kita juga fasiq sekiranya, ada dosa yang kita telah anggap ia bukan dosa kerana kita telah selalu melakukannya. 

Kita telah mendustakan azab, sekiranya kita tahu itu dosa namun, kita tetap melakukannya kerana kita kalah dengan nafsu yang bergelora.

Jadi, apa langkah kita? Bertaubatlah dan banyakkan istghfar. Ia perlu dilakukan dengan lebih kerap. Supaya, iman kita akan meningkat dan kita menjadi kurang keinginan untuk melakukan dosa.

Tingkatkan amalan sunnah, pergiatkan majlis ilmu dan berdamping dengan orang yang mampu mendekatkan kita kepada Allah.

Hal ini kerana, kita harus bertindak dan berharap agar, pengakhir hayat kita ialah pengakhiran yang soleh dan bukan pengakhiran yang buruk dan dosa.

*Tazkiyatunnafs edisi 6*
*3 Disember 2016*
*Unit Tarbiyah GBIQ*
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...