Tuesday, 1 December 2015

Perasaan itu datang lagi II

Ibu.
Perasaan itu datang kembali. Apabila aku dapat tahu, akhirnya kimoterapi menjadi pilihan, aku terasa sebak. Terkelu. Perasaan itu kembali lagi.

"Esok umi kimoterapi"

Aku tersentak. Aku terdiam. Sebak. Jiwaku meraung. Tanganku menjadi lemah. Smartfone yang aku pegang yang darinya keluar ungkapan itu, seakan-akan menjadi sangat berat dan licin. Hampir sahaja aku melepaskannya.

Aku tahu, perasaan-perasaan yang melampau tak seharusnya lahir dalam diri seorang mukmin. Tapi, ia berlaku juga. Tanpa kawalan. Aku cuba sedarkan daripada dikawal perasaan sendiri. Aku mohon supaya Allah ampunkan aku.

Ingin saja aku beritahu kepada ibu, "tabahlah". Namun, perkataan itu tidak terpacul. Rasa tidak layak aku mengucapkannya. Lidahku kelu.

Aku cuma mampu berdoa kepada ibu agar kau tabah. Setakat yang aku tahu, semangat untuk lawan itulah yang sebenarnya mampu mengurangkan pembiakan sel kanser tersebut. Ingin sahaja aku beritahu perkara itu kepada ibu. Namun, aku rasa aku tidak layak ibu.

Aku serah urusan ini kepadaMu Ya Allah.

Wahai tuhan yang maha hidup dan yang maha kuat, rahmatMu aku menagih. Kau baikilah urusanku seluruhnya, jangan Kau serahkan urusan kami kepada diri kami walaupun sekelip mata.

Namun, aku masih seperti dulu. Walaupun saban hari, kesulitan menimpa, badanku tetap berat untuk bangun disepertiga malam. Sedangkan, itulah waktu terbaik untuk memohon dan mengadu nasib kepada tuhan, dia tempat mengadu. Dia juga zat yang paling layak untuk mendengar aduan hamba-hambanya.

Dialah tempat selayaknya untuk manusia mengadu. Dia tuhan yang maha memakabulkan doa dan mendengar rintihan dan aduan hambanya. Dia tuhan yang maha menunaikan hajat hambaNya.

................…...................

" Mua, bangun!"

Suasana bilik yang gelap dan sunyi dipecahkan sedikit keheningannya dengan suara besar dengan nada yang rendah. Ia memanggil namaku.

"Ahh, pergilah dulu!"

Aku melawan. Aku betul-betul rasa terganggu. Aku menarik keras semula kain yang diangkat oleh abangku dari tubuhku.

Suasana menjadi sunyi kembali. Namun, kelibat orang yang cuba mengejutkan aku tadi masih duduk dikatil, bahagian kakiku. Dia seperti memikirkan sesuatu. Setelah seperti lama berfikir, wajahnya kembali menoleh kearahku.

"Kekuatan seorang pejuang bukanlah pada tajamnya pedangnya.

Bukanlah pada bijaknya perancangannya

Bukanlah pada canggihnya peralatan perangnya.

Tetapi, kekuatan pejuang itu terletak pada tahajutnya."

Tiba-tiba, puisi yang bernada separa lawak kedengaran, keluar dari mulut orang tadi. Sekali lagi aku tersentak. Kena tepat pada batang hidung.

Aduh, apa yang sedang aku lakukkan ini? Mindaku seakan-akan menjadi celik seketika. Mesej itu ditangkap kejap. Namun, keegoan tetap mengikat diriku untuk bangun dari tidur yang mengasyikkan itu.

...............

Kisah ini kisah rekaan yang ditulis untuk dijadikan pengajaran kepada kita semua. Namun, ia juga dicoretkan berdasarkan mengalaman individu tertentu dan menggunakan nama penulis supaya penulisannya terasa lebih dekat.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...