cinta Rasul, Satu Perjuangan dan Mujahadah. Cinta rasul tidak cukup dengan berselawat. Ya, benar. Selawat juga tanda cinta Rasul. Dengan selawat yang diucapkan penuh penghayatan akan membolehkan kita memperoleh syafaat nabi, insyaAllah.
Namun, hakikatnya, tanda cinta Rasul yang tertinggi ialah kita berjuang. Bermujahadah. Berjuang demi agama yang dibawa oleh Rasulullah. Berjuang mengamalkan sunnnah rasul. Apabila kita sebut tentang sunnah, ramai yang akan berkempen, kita harus memakai pakaian sunnah, pakaian putih. Memakai serban. Makan makanan sunnah. Memakai rida'.
Itu semua sebenarnya sunnah, tetapi, sunnah sebenarnya mempunyai skop yang lebih luas dan realistik. Mempunyai mempunyai konsep tawakal betul dan mempunyai pegangan iman yang kuat juga merupakan sunnah Rasul. Malah, perkara ini yang menjadi perjuangan utama Rasulullah.
Seorang anak, menghormati dan berbakti bersungguh-sungguh kepada ibu bapanya juga merupakan sunnah yang besar. Kerana, Rasulullah menyuruh kita semua untuk menghormati mereka. Melakukan solat awal waktu juga merupakan sunnah yang luarbiasa. Mengamalkan zikir-zikir yang diamalkan oleh Rasulullah, meringankan beban dan menunaikan hajat saudara kita yang memerlukan, bersungguh-sungguh menuntut ilmu dan membaca Al Quran serta melakukan pelbagai amalan sunnah yang lain, itu juga merupakan tanda kita cinta kita kepada Allah. Skopnya sangat besar sebenarnya.
Memang benar. Andai kita cinta rasul, kita akan memuji baginda. Menjulang baginda dengan syair dan kata-kata. Menulis puisi tentang baginda. Ingat baginda sehingga menitis air mata kita. Menangis kita. Bagi kita, inilah bukti tertinggi kecintaan kita kepada Rasulullah. Hati kita menjadi sedih. Hiba. Pilu. Terkenang-kenang baginda hingga mungkin kita 'angau' dan teringat-ingat akan baginda.
Ada yang berkumpul beramai-ramai mengingati baginda. Adakan majlis qasidah untuk memupuk rasa cinta dan kasih kepada Rasulullah.
Tak cukup dengan itu, kita panggil orang yang mengaku dirinya keturunan nabi, para habaib, kita bertemu syeikh-syeikh untuk mengetuai majlis qasidah kita. Para alim u'lama juga kita datangi tempat pengajian mereka untuk berkumpul dan beliau memimpin majlis qasidah tersebut. Sejuk hati kita melihat wajah u'lama. Apatah lagi melihat wajah rasulullah.
Semuanya tak lain tak bukan supaya kita rasa kita dekat dengan Rasulullah. Supaya kita rasa kita sangat hampir dengan baginda. Kita berdamping dengan guru-guru yang kita anggap mereka u'lama. Ulamakan pewaris nabi.
Nak bagi rasa dekat lagi, kita tambahkan lagi apabila menghadiri majlis qasidah dan majlis cinta nabi dengan pakaian serba putih. Jubah. Semua seragam. Hampir seragam. Hati kita rasa tenang. Pakai serban. Letak rida' dibahu. Kenapa? Kerana, kita kata, ini sunnah Rasulullah. Sunnah rasul dalam berpakaian.
Hinggakan, Ustaz Don pernah kata dalam tanyalah ustaz di TV 9 hari khamis 24/12/2015, antara cara ingin memupuk cinta nabi, perlu gantung gambar-gambar peninggalan nabi, gambar masjid nabawi, mahupun capal nabi.
Hakikatnya, cinta Rasul harus lebih daripada itu. Lebih yang bagaimana? Tujuan agama ini diturunkan ialah menjadi petunjuk kepada manusia. Tujuan Rasulullah diutus untuk menjadi contoh teladan yang baik seperti yang terdapat dalam banyak Ayat Al Quran dan hadis.
"Tidak kami utuskan kamu (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat kepada seluruh alam."
Itulah maksud tujuan utama agama diturunkan tuhan. Agama inilah yang diperjuangkan dan dibawa dengan bersusah payah oleh Rasulullah. Yang paling peting. Rasulullah membawa agama ini bukan satu perkara yang mudah. Korban perasaan. Korban jiwa. Pedih hati dicaci. Korban tenaga. Letih. Penat. Rasulullah tetap berjuang. Kerana apa? Kerana, itulah tujuan paling utama baginda diutus menjadi rasul. Oleh itu, kita harus menumpukan lebih perhatian untuk memperjuangkan tujuan utama Rasulullah andai kita cinta nabi.
Malah, antara cabaran yang Rasulullah terima ialah membawa wajah agama yang sebenar kepada manusia. Wajah agama yang Rasulullah harus bawa bukan sekadar menjadikan agama itu satu silibus atau subjek untuk menjadi perbincangan manusia.
Sebagai contoh, tauhid, syariah dan akhlak yang Rasulullah bawa bukan sekadar tauhid yang menjadi perbualan dan perbahasa ilmu dalam majlis-majlis. Bukan hanya menjadi bahan kajian dan diskusi. Tetapi, ia lebih rumit daripada itu.
Aspek-aspek agama tersebut yang dibawa hingga menjadi darah daging para sahabat. Tauhid yang Rasulullah bawa mampu membuatkan mereka akur dengan apa sahaja perintah Allah. Mereka menjadi manusia yang sanggup bekorban harta, nyawa, jiwa, perasaan, maruah, dan keluarga demi tuhan dan agama tuhan.
Inilah perjuangan Rasulullah. Jadi, sebagai tanda cinta kita kepada Rasulullah, kita harus sambung perjuangannya. Namun, perjuangan ini tidak boleh disambung dengan 'duduk saja'. Ia perlukan kesungguhan. Pengorbanan. Kita harus keluar dari zon selesa. Semua itu harus dilakukan dengan cara kita bermujahadah. Kita berperang dengan diri sendiri. Lawan, lawan, lawan. Hingga kita melangkah setapak demi setapak.
Jadi, berjuang itulah tanda kita cinta Rasulullah. Kita berjuang meninggalkan hiburan yang berlebihan diganti dengan amalan Rasulullah seharian. Kita berjuang menghafal zikir-zikir Rasulullah yang sahih yang telah dikumpul oleh para u'lama, kita berjuangan bermujahadah memperbaiki solat kita dan ibadah kita sesuai dengan hadis-hadis sahih.
kita berjuang menghafal firman-firman Allah, kita berjuang menuntut ilmu, kita berjuang dengan berdakwah kepada masyarakat. Kita berjuang dan berusaha dengan penuh ikhlas ingin mengeluarkan remaja dan anak muda daripada hiburan berlebihan, kita bangkit membela apabila u'lama besar dihina. Kita berjuang menyebarkan hadis-hadis sahih dan memerangi hadis-hadis yang direka dialam nyatavdan alam maya. Kita berbakti sehabis baik kepada kedua ibu bapa kita.
Sungguh, inilah perjalanan kita kearah cinta Rasulullah yang paling tinggi.