Thursday, 24 September 2015

Ibu, aku hina dihadapanmu

Ibu, aku tak tahu apa ungkapan yang paling layak untuk mengambarkan terima kasihku kepadamu. Orang ramai sering katakan, pengorbananmu tidak mampu dibalas kerana kasihmu terhadap anakmu terlalu besar, aku juga ingin mengungkapkan perkara yang sama, malah aku harap lebih berganda-ganda maksudnya. Namun, Aku tahu, memberi ungkapan terima kasih bukanlah cara yang layak untuk membalas jasamu. Aku rasa bersalah sekiranya tidak mengungkapkannya.

Disaat diri ini rasa ingin membalas jasamu dengan membantumu, aku terasa keletihan, kelelahan, mengah. Jahatnya aku. Berdosanya diriku. Cepatnya aku letih, sedangkan ibu, kau terus berkerja, mendidik dari awal subuh hingga lewat malam dengan rasa bahagia tiap-tiap hari. Aku pula, Setiap hari aku terlalai dalam membantumu. Dosa apakah yang aku sedang lakukan ini? Aku harap Allah mengampunkanku.

Ibu, aku rasa berdosa sekali, meninggalkanmu berseorangan. Kalau ikut keinginanku, ingin saja aku sentiasa berada disampingmu, menunaikan hajatmu. Aku berbelah bagi, dalam masa yang sama Ibu inginku berjuang menuntut ilmu. Aku rasa berdosa, apabila kadang-kadang aku terlalai dimedan perjuangan ilmu. Fokusku terganggu. Sedangkan bukan itu yang ibu mahukan dariku. Aku harap ibu maafkanku. Dan ibu mendoakan aku terus istiqamah dan ikhlas dijalan perjuangan menuntut ilmu. Walaupun apa saja penderitaan yang perlu aku dan ibu sedang pikul.
Aku harap ibu jangan terlalu risau denganku. Cukuplah dengan janji Allah, doa ibu kepada anaknya itu tidak akan ditolak. Seperti yang ibu harapkan juga, aku akan terus berdoa untuk kesembuhan dan kesejahteraan ibu dan untuk Allah bimbing diriku.

Ibu, aku rasa berdosa apabila aku tidak menunaikan apa yang ibu kehendaki. Kadang, aku bergembira disini, sedangkan ibu sedang berjuang sendirian melawan penderitaan. Apa yang ibu mahukan ialah aku fokus dan tidak lalai dalam menuntut ilmu. Aku rasa berdosa ibu, aku harap ibu maafkan aku. Banyak kali aku lakukan perkara yang sama, lalai daripada fokus dalam jalan ilmu. Namun, ibu terus mahu aku dijalan ini, walaupun aku tahu, khidmatku diperlukan ibu. Aku tahu, apabila ditanya, ibu mungkin menjawab,

"umi bahagia lihat anak umi bahagia, walaupun umi tidak bersama...",

" ibu mana yang tak mahu lihat anaknya gembira, tapi pastikan ia bukan melalaikan..."

Namun, aku tetap rasa berdosa. Maafkan aku ibu. Aku harap Allah mengganjarkan dan membalas segala penderitaanmu itu dengan ganjaran dan kenikmatan yang sangat besar diakhirat kelak, yang mampu melupakan serta merta penderitaanmu didunia. Semoga Allah menyucikanmu dari segala dosamu dan memasukkan ibu kedalam syurga firdausNya seandainya ibu tetap sabar dan ikhlas menempuh penderitaan yang diberikan Allah. Aku, deritamu buksn derita biasa

"Sesiapa yang tidak merasa, tidak akan faham"

Aku sedih dan rasa berdosa. Disaat ibu hanya boleh makan makanan tertentu sahaja, kami anak-anakmu menikmati pelbagai makanan yang unik 'rasa'nya. Dosa apakah yang sedang kami lakukan ini? Maafkan kami ibu.

Ibu, Aku sedang melatih, memujuk diri untuk redha diatas segala ketentuan Allah yang telah berlaku, sedang berlaku dan yang akan berlaku. Segala ketentuan Allah itu yang terbaik walaupun aku rasa sangat menderita untuk menanggung dan menghadapinya. Malah, engkau lebih berjuta lipat kali ganda. Sungguh, ramai lagi manusia yang diuji jauh lebih dasyat dan jauh lebih derita, cuma aku yang mengada-ngada. Semoga ibu dan aku kuat ,istiqamah dan ikhlas.

Jangan risau tentangku wahai umi. Tempuhlah kehidupan umi dengan tabah, sabar, syukur, ikhlas. Doakanku umi. Anak ini memerlukan doa ibunya. Aku juga akan terus mendoakan umi dan terus menerus mendoakan diri sendiri. Maafkanku ibu, walaupun aku tahu, jawapanmu

" umi maafkan..."

- Muawiyah Al Murtadho Fajar -

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...